Dibina pada tahun 1885, Menara Condong Teluk Anson (kini Teluk Intan) ini direka dan dibina oleh arkitek berketurnan Cina tempatan iaitu Leong Choon Cheong (juga dikenali sebagai Ah Cheong) dan dibantu oleh Penolong Jurutera dari Jabatan Kerja Raya (P.W.D.) Teluk Anson, En. S. Sabapathy.
Menara ini dibina dengan sempurna dan tegak pada asalnya, namun lama kelamaan mula condong sedikit demi sedikit. Selain faktor saintifik yang menyatakan bahawa keadaan struktur dan paras air dalam tanah yang tinggi, bebanan air yang berada dalam tangki juga telah menyebabkan menara ini condong ke arah barat daya. Menara dengan rekabentuk seperti pagoda ini menempatkan jam loceng yang dibeli dari pembuat jam terkenal dunia iaitu James Wilson Benson dari Ludgate Hill, London.
Walaupun menara ini pada asalnya berfungsi sebagai tangki simpanan air bagi kawasan bandar, ia tidak lagi menyimpan air dan hanya berfungsi sebagai menara jam. Bangunan dengan tinggi sebanyak tiga tingkat ini telah diisytiharkan sebagai bangunan warisan kebangsaan oleh Jabatan Warisan Malaysia pada September 2015.