Sepasang meriam lama ini dijumpai oleh Encik Wan Ali Bin Wan Sulaiman pada tahun 1953 ketika sedang menggali di kebunnya yang berada kira-kira 60 ela daripada makam Sultan Abdullah Muhammad Shah I (Sultan Perak ke 22) di Kampung Terengganu, Durian Sebatang.
Beliau juga menjumpai beberapa biji peluru meriam disekitar kawasan tersebut. Disebabkan kawasan tersebut berada berdekatan dengan Makam Sultan Abdullah Muhammad Shah, adalah dipercayai bahawa meriam tersebut milik Laksamana Raja Mahkota yang merupakan wakil Sultan di Hilir Perak.
Jumpaan ini telah dilaporkan ke Muzium Singapura yang kemudiannya menyimpulkan bahawa meriam ini mungkin dibuat di Britain untuk kegunaan British. Meriam pada zaman tersebut juga digunakan sebagai alat perdagangan untuk membeli timah dan juga hadiah tanda persahabatan dengan pembesar tempatan.
Rekod sejarah juga menunjukkan bahawa terdapat 70 meriam jenis ini dijumpai oleh anak kapal HMS Rinaldo sewaktu mereka menawan Kota Kuala Selangor. Namun asal usul dua laras ini tidak diketahui.