TELUK INTAN, 8 OGOS 2026 – Arena Square Teluk Intan menjadi lokasi berlangsungnya Karnival Kelestarian Alam Negeri Perak Tahun 2026 Peringkat (Zon Perak Selatan) bermula pada jam 7.30 pagi hingga 1.00 petang.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Encik Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, sebagai salah satu usaha memperkukuh kesedaran serta penglibatan masyarakat dalam memelihara kelestarian alam sekitar.
Turut hadir Yang Berusaha Puan Mufidah binti Mahfodz, Pegawai Daerah Hilir Perak; Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota Dato' Haji Meor Redwan bin Mahayudin, Orang Besar Jajahan (OBJ) Daerah Hilir Perak; Tuan Mohd Faizal bin Md Kasim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) serta Yang Berusaha Puan Intan Shafini binti Mustafa, Timbalan Pengarah Sektoral 2 UPEN Perak, Dr. Nor Akmar Ibrahim, Setiausaha Majlis Perbandaran Teluk Intan, Ahli-Ahli Majlis MPTI, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pengarah Jabatan MPTI.
Karnival ini turut mendapat sokongan dan penyertaan daripada ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan, Ahli-Ahli Majlis MPTI, rakan-rakan media serta komuniti di kawasan Perbandaran Teluk Intan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan bagi menterjemahkan agenda kelestarian alam kepada penglibatan secara langsung dalam kalangan masyarakat. Antaranya termasuk pertandingan reka cipta dan peragaan pakaian menggunakan bahan kitar semula, kaunter dan pertandingan pembelian sisa elektronik (e-waste) dan pengumpulan dan pertandingan minyak masak terpakai, Jualan Rahmah serta pameran daripada agensi kerajaan dan NGO.
Usaha memperkukuh kelestarian alam turut disokong menerusi langkah Kerajaan Negeri Perak dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui larangan pemberian serta penggunaan beg plastik jinjit sekali guna dan kempen “Moh Guna Beg Sendiri”.
Seiring dengan usaha tersebut, masyarakat juga digalakkan mengamalkan konsep 5R – Refuse, Reuse, Reduce, Recycle dan Recover sebagai amalan harian bagi mengurangkan pembaziran, memaksimumkan penggunaan semula serta memperluaskan budaya kitar semula.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk serta Jabatan Perpaduan Hilir Perak dan Bagan Datuk atas kerjasama dan sokongan padu dalam menjayakan pelbagai aktiviti pertandingan, khususnya pertandingan mewarna, peragaan pakaian dan reka cipta menggunakan bahan kitar semula.
Komitmen dan kerjasama semua pihak membuktikan bahawa usaha menjaga alam sekitar bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipupuk dan diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat.