17 APRIL 2026 (JUMAAT) - Seramai 25 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 13 orang Anugerah Perkhidmatan Terampil, dan 3 orang penerima Anugerah Khas Yang Dipertua MPTI Tahun 2025 dan penyampaian cenderahati kepada 10 orang pesara MPTI yang bersara wajib dan pilihan Tahun 2025.
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Majlis Jamuan Raya Aidilfitri 2026 telah berlangsung cukup meriah di Dewan Bandaran MPTI dan telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Zairul Akmal Kasim Yang Dipertua MPTI. Turut hadir YBrs Dr. Nor Akmar Ibrahim Setiausaha MPTI, Ahli-Ahli Majlis MPTI, Pengarah Jabatan, Ketua Bahagian, Ketua Unit, Cawangan Bagan Datuk.
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Perbandaran Teluk Intan merupakan satu platform penghargaan yang amat bermakna dalam mengiktiraf usaha gigih, komitmen tinggi serta kecemerlangan warga kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kesejahteraan dan kemajuan kawasan pentadbiran MPTI sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam ucapan perasmian, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan komitmen luar biasa sepanjang tempoh perkhidmatan. Beliau turut menegaskan bahawa kecemerlangan yang dicapai hari ini adalah hasil usaha berterusan, disiplin yang tinggi serta semangat kerja berpasukan yang utuh.
Menurut beliau lagi, anugerah yang disampaikan bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi juga amanah untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan, mengamalkan integriti serta sentiasa peka terhadap keperluan rakyat. Beliau berharap agar semua warga kerja akan terus berinovasi, berdaya saing dan komited dalam mendukung visi serta misi organisasi.
Diharapkan melalui penganjuran majlis seperti ini, budaya kerja cemerlang dapat terus dipupuk, sekaligus melahirkan warga kerja yang profesional, berdedikasi dan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik demi kemajuan Majlis Perbandaran Teluk Intan dan kesejahteraan komuniti setempat.