Menara Condong Teluk Intan merupakan salah satu tarikan utama pelancong di Teluk Intan. Menara ini dibuka untuk lawatan orang ramai dan terletak di antara pertemuan dataran segi empat, iaitu Jalan Pasar dan Jalan Ah Cheong dengan Jalan Selat dan Jalan Bandar dikiri dan kanan menara. Menara ini direka dan dibina oleh arkitek berketurunan Cina tempatan iaitu Leong Choon Cheong (juga dikenali sebagai Ah Cheong) dan dibantu oleh Penolong Jurutera dari Jabatan Kerja Raya (P.W.D.) Teluk Anson, En. S.Sabapathy dibina pada tahun 1885. Menara ini dibina dengan sempurna dan tegak pada asalnya, namun lama kelamaan mula condong sedikit demi sedikit. Selain faktor saintifik yang menyatakan bahawa keadaan struktur dan paras air dalam tanah yang tinggi, bebanan air yang berada dalam tangki juga telah menyebabkan menara ini condong ke arah barat daya. Menara dengan reka bentuk seperti pagoda ini menempatkan jam loceng yang dibeli dari pembuat jam terkenal dunia iaitu James Wilson Benson dari Ludgate Hill,London. Melalui kajian yang dibuat terhadap Menara Jam Condong yang dahulu dikenali sebagai Jam Tinggi, tujuan dan motif pembinaannya adalah:
Sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran.
Sebagai tangki air untuk penduduk bandar sekiranya berlaku kemarau
Memperingati jasa pentadbir (Pentadbir British)
Jalan di tengah-tengah Bandar Teluk Intan telah dinamakan sebagai Jalan Ah Cheong sempena memperingati sumbangan En. Leong Choon Cheong yang telah membina menara tersebut. Walaupun kontraktor Leong Choon Cheong berusaha membina menara jam ini dahulu, namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak British adalah pemilik dan pentadbir ketika itu. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, menara jam ini secara automatis menjadi milik negara dan kini ia dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan pula oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan musuh.
Pada masa kini, menara ini hanya berfungsi sebagai menara jam dan akan berbunyi setiap 15 minit. Bangunan yang ketinggian 3 tingkat ini, telah diisytiharkan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Malaysia pada September 2015. Kawasan Dataran Menara Condong ini adalah tempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti di peringkat daerah dan negeri.